KULIT buah limau, selulit atau berilah apa gelaran sekali pun padanya, yang pasti nama itu bukan sesuatu yang digemari. Sekiranya diberikan pilihan pasti ramai yang ingin 'lari' daripada mendekati isu yang menjadi antara masalah tertua dalam dunia kecantikan. Kebencian itu bersebab, kerana ia punca tubuh tidak kelihatan langsing, malah kulit berselirat putih itu menjadikan seseorang tampak berisi, walaupun mungkin beliau tidak memiliki berat badan melampau.
Busana mahal juga tidak dapat menutupi kewujudannya kerana potongan tubuh dipenuhi kulit membonjol, terlihat jelas pada lengan, paha atau kaki dan memburukkan penampilan.
Lebih malang, kerana ia kerap dikaitkan dengan wanita, akibat struktur biologinya yang memiliki lapisan lemak lebih tinggi sekiranya dibandingkan dengan lelaki, menjadikan ia, masalah yang hampir pasti menjadi milik wanita.
Selulit cemari kulit: Keadaan kulit yang pelik cemari penampilan
SELULIT ada pada hampir semua manusia, tetapi sama ada ia mampu berkembang dan terus membesar atau sebaliknya, terpulang kepada empunya diri. Pada dasarnya, selulit adalah lapisan lemak di bawah kulit yang terletak pada atas otot. Jika selulit hanya membabitkan lapisannya saja, mungkin selulit tidak akan kelihatan.
Masalahnya, ada sebuah jaringan serat yang menghubungkan otot ke kulit. Jaringan itulah yang membuat bonjolan lemak di mana lemak terkumpul atau menekan lapisan lemak yang normal. Pemangkinnya adalah pertambahan berat badan, selepas melalui proses kehamilan dan fungsi metabolik seperti tidak bersenam dan hormon tiroid yang tidak aktif.
Eksekutif Bahagian Produk Pengguna L'Oreal, Irene Ng Ze Ann, berkata kulit manusia terdiri daripada dua lapisan lemak yang digelar lemak luaran dan lemak simpanan dalaman. Lemak luaran tidak menjadi masalah besar kerana ia tidak boleh dibuang, sebaliknya lemak pada bahagian dalam adalah lemak lebihan yang tidak digunakan dan terkumpul pada bahagian tertentu.
Sebenarnya manusia lahir bersama sel yang boleh berpotensi menjadi selulit yang sukar diatasi sekiranya langkah mengatasi tidak dilakukan segera. Ia adalah sesuatu yang 'hidup' kerana asalnya ia kecil, tetapi boleh membesar hingga menimbulkan bonjolan besar yang memburukkan sekiranya tidak dikawal, sama ada dari segi cara hidup atau melakukan rawatan untuk mengurangkannya.
"Adiposit adalah sel yang sentiasa laparkan gula dan lemak. Sel ini bukan saja boleh menjadi lebih besar, tetapi juga akan berganda apabila kapasiti penyimpanannya mencapai had maksimum. Dengan penggandaannya, adiposit akan menambah jumlah adipos lobul yang berbentuk seperti beg berlonggok.
"Longgokan lobul ini bertenggek pada pinggul, paha dan punggung untuk membentuk selulit yang menjadikan kulit kelihatan seperti span. Antara yang menjadi sarang selulit adalah bahagian kaki dan paha, punggung, perut dan lengan," katanya.
Beliau berkata, pemakanan yang tidak diatur dengan baik selain pengambilan minuman keras, berminyak, berlemak, kafein dan gula, adalah antara pemangkin pertumbuhan selulit.
Memburukkan keadaan sekiranya individu tidak menjalankan aktiviti menyihatkan seperti bersenam dan tekanan hidup. Hakikatnya ketidakseimbangan antara penyimpanan lemak dengan penggunaan semula bukan saja menambah selulit, tetapi menjadikan ia degil dan sukar dihilangkan.
Katanya, seseorang yang berjaya mengurangkan lemak serta menguruskan badan belum tentu dapat menghapuskan selulit kerana tubuh yang langsing bukan jaminan tiada lemak dan selulit.
Hakikatnya, tiada jalan pintas bagi menghilangkan selulit, namun ada pelbagai produk rawatan secara dalaman dan luaran kini boleh didapati di pasaran.
INFO: Selulit
•Selulit lebih pantas hilang sekiranya diikuti dengan bersenam secara teratur kerana aktiviti berkenaan membantu membuang racun dan kelebihan lemak di bawah kulit.
•Hindari alkohol, minuman berkafein, sebaliknya lebihkan pengambilan air kosong. Kombinasi kafein yang banyak dan duduk lama di kerusi menyebabkan aliran darah tidak lancar dan memudahkan penghasilan selulit.
•Kurangkan makanan bergula, garam dan berlemak. Sungguhpun ada produk makanan menyatakan kurang lemak, ia mungkin menggantikannya dengan gula.
•Lebihkan pengambilan protein, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pilih buah dan sayuran yang berwarna terang kerana ia mengandung antioksidan seperti mangga, bayam dan tomato.
The real life of Kevin Richardson
13 years ago
0 comments:
Post a Comment